Pertumbuhan pesat ekonomi dunia dan proses globalisasi telah menjadikan persekitaran ekonomi lebih dinamik dan kompetitif. Situasi ini mewujudkan peluang dan cabaran kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sektor pertanian yang merangkumi industri agro-makanan turut berdepan pelbagai cabaran dan memerlukan transformasi bagi meningkatkan sumbangannya dalam menyokong aspirasi negara berpendapatan tinggi.
Pemodenan sektor pertanian yang dipacu oleh Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), teknologi dan inovasi merupakan pendekatan utama dalam menyokong proses transformasi industri agro-makanan. Pendekatan ini juga selaras dengan matlamat Dasar Agro Makanan Negara 2.0 (DAN 2.0) yang menekankan kepada sekuriti makanan, kelestarian, dan peningkatan nilai ekonomi sektor agro-makanan.
Sejajar dengan matlamat ini, Jawatankuasa Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (Malaysian Society of Agricultural and Food Engineers – MSAE) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Konvensyen Kejuruteraan Pertanian dan Makanan Kebangsaan (NAFEC 2026).
NAFEC 2026 akan menghimpunkan para akademik, pengamal undang-undang, pakar industri serta individu yang terlibat dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan di Malaysia untuk membincangkan teknologi terkini, keperluan serta permasalahan dalam industri pertanian dan makanan, berkongsi amalan terbaik, serta mengemukakan cadangan penambahbaikan dasar dan perundangan khususnya dalam sektor kejuruteraan pertanian dan makanan negara.
Memperkasa aplikasi kejuruteraan pertanian dan makanan melalui pendekatan menyeluruh dalam setiap rantaian nilai pertanian.
Menyediakan platform untuk perkongsian maklumat dan teknologi serta perbincangan berkaitan dasar kerajaan yang melibatkan kejuruteraan pertanian dan makanan secara lebih terperinci dan holistik antara pihak kerajaan dan kumpulan yang berkepentingan.
Mengembangkan jaringan komuniti penggerak kejuruteraan pertanian dan makanan bersama para pemegang taruh.